sukan

Harapan disandarkan kepada Skuad B-23 sebagai penyembuh duka bola sepak Malaysia

Kuala Lumpur: Harapan tinggi kembali disandarkan kepada skuad bawah 23 (B-23) negara apabila temasya Sukan SEA di Thailand bulan depan dilihat sebagai peluang untuk mengubat luka penyokong bola sepak tempatan yang kini berdepan pelbagai kekecewaan.

Ketika imej bola sepak negara terpalit dengan isu penipuan dokumentasi tujuh pemain warisan yang membawa kepada tindakan tegas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tumpuan penyokong kini beralih kepada pasukan muda negara bagi membawa sedikit sinar dalam suasana suram itu.

Sukan SEA secara tradisinya menjadi medan yang cukup dekat di hati peminat, malah kejayaan membawa pulang pingat emas sentiasa dianggap lambang kebangkitan bola sepak Malaysia.

Justeru, skuad kendalian Nafuzi Zain itu kini memikul tanggungjawab besar bukan sahaja untuk memberikan aksi terbaik, tetapi menjadi penyuluh keyakinan baharu kepada penyokong yang semakin hilang arah akibat kontroversi melanda badan induk.

Menurut Nafuzi, beliau memahami sepenuhnya tekanan yang sedang dirasai peminat tatkala prestasi bola sepak negara sering diperkatakan bukan atas faktor kejayaan, sebaliknya kerana isu yang mencalarkan maruah sukan itu.

Beliau mengakui tugasan di Sukan SEA sentiasa hadir bersama harapan luar biasa, namun pasukannya akan berusaha untuk membawa sesuatu yang positif walaupun persiapan kali ini penuh kekangan.

“Saya tahu harapan tinggi yang diletakkan penyokong terutamanya Sukan SEA ini dari dulu lagi adalah penantian daripada mereka terutamanya mahu membawa pulang pingat emas untuk negara.

“Apa yang boleh kita harapkan adalah memberi sesuatu kepada penyokong. Walaupin persediaan singkat dan menghadapi beberapa kekangan dengan saingan liga masih berjalan, apa pun kita menyahut cabaran itu.

“Kita harap dapat mara ke peringkat seterusnya dan berikan terbaik untuk meraih kejayaan di Sukan Sea,” katanya, katanya, ketika ditemui pada hari pertama kem latihan skuad B-23, di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, semalam.

Mengikut rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos. Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke separuh akhir.

Pada edisi sukan Sea di Kemboja 2023 menyaksikan skuad B-23 negara terkandas di peringkat kumpulan selepas menduduki tangga ketiga kumpulan B.

Sementara itu, Nafuzi berkata, beliau meletakkan harapan untuk barisan anak buahnya mampu melangkah ke peringkat separuh akhir dan membawa pulang pingat untuk negara.

“Dari segi sasaran, kita tahu dua kejohanan sebelum ini gagal untuk mara ke separuh akhir dan juga ke pusingan akhir.

“Jadi yang apa yang penting Sukan SEA kali ini adalah untuk kita mara ke separuh akhir,” katanya.