KOTA KINABALU: Sabah FC berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dua kali berturut-turut di gelanggang lawan dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, petang esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berharap anak buahnya dapat mengekalkan prestasi di hadapan penyokong sendiri setelah memenangi dua perlawanan di tempat lawan.
Beliau mahu semua pemain kembali fokus dengan tugas mencapai sasaran tiga mata ketika bermain di laman sendiri dan tidak memandang mudah kehadiran Kedah.
“KDA FC adalah satu pasukan yang lebih baik dan saya percaya mereka mendapat suntikan cukup baik dengan keputusan positif sebelum ini.
“Kita tidak boleh mengambil mudah dan saya tidak mengharapkan jaringan besar, apa yang penting, kita berakhir dengan keputusan positif untuk berada di kedudukan lebih selesa,” katanya.
sumber:-BH
Sambil mengharapkan kehadiran ramai penyokong, Kim Swee turut mengingatkan anak buahnya supaya mempersembahkan permainan bermutu bagi mencapai kemenangan.