KUALA LUMPUR: Kehadiran tujuh lagi ‘pemain baharu’ yang beraksi di luar negara dilihat sebagai satu perkembangan positif untuk memperkasa skuad Harimau Malaya namun timbul persoalan mengenai nasib pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Barisan pemain tempatan tampaknya perlu bekerja lebih keras bukan sahaja untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama namun ‘pertarungan’ sudahpun dibuka bermula hanya untuk mendapatkan slot dalam senarai panggilan ke kem latihan pusat.
Ketika diminta mengulas mengenai situasi itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim mengakui wujud kebimbangan mengenai peluang pemain tempatan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan selepas ini.
Namun Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyifatkan ini sebagai langkah yang mungkin seharusnya diambil dalam usaha meningkatkan kualiti bola sepak negara secara ‘ekspres’ dengan menggunakan segala sumber yang ada.
“Kalau kita lihat situasi ini, memang kita tidak dapat nafikan yang peluang anak tempatan makin tertutup dan secara tidak langsung akan membunuh semangat anak muda yang beraksi di liga tempatan.
“Tetapi saya fikir, inilah harga yang perlu kita bayar untuk mendapatkan kejayaan segera dan kita perlu terima hakikat kalau kita mahu memajukan bola sepak.
“Kita faham mungkin langkah ini diambil untuk membantu usaha kita layak ke Piala Asia sekali lagi. Kita sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk pasukan negara,” kata Zulakbal.
Terdahulu, bukan setakat Hector Hevel dan Gabriel Palmero namun skuad Harimau Malaya akan terus bertambah garang selepas tujuh lagi ‘pemain baharu’ dijangka memperkuat barisan skuad kebangsaan selepas ini.
Perkembangan itu disahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menegaskan perjalanan skuad Harimau Malaya masih lagi jauh sekali gus mengharapkan penyokong dapat bersabar dan memberi masa supaya revolusi yang dicetuskan memberi impak seperti diharapkan.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan membuka kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Nepal 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Selasa lalu.
Hevel yang tampil buat kali pertama mencuri tumpuan apabila hanya memerlukan 30 minit untuk membuka akaun golnya bersama skuad kebangsaan sebelum La’Vere Corbin Ong melebarkan jurang pada babak kedua.
sumber:-BH
Keputusan itu menyaksikan skuad negara terikat tiga mata bersama seteru ASEAN, Vietnam namun Vietnam mendahului Kumpulan F susulan kemenangan besar 5-0 ke atas Laos.