Harga tiket Chelsea hanya RM57, mahal lagi Harimau Malaya

NEW JERSEY – Tiket perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 antara Chelsea dan Fluminense diturunkan secara drastik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada AS$13.40 (RM57), berbanding harga asal AS$473.90 (RM2,007).

Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium MetLife awal pagi Rabu ini dan keputusan mengejutkan itu dibuat selepas FIFA menggunakan sistem harga tiket secara dinamik yang mana harga akan berubah-ubah mengikut keadaan.

Antara faktor lain mungkin disebabkan maslah penjualan tiket untuk memenuhkan stadium bagi perlawanan antara Chelsea dan Fluminense.

Bagi satu lagi aksi separuh akhir yang mempertemukan juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) menentang Real Madrid di lokasi sama awal pagi Khamis ini, harga tiket standard bermula dari AS$199.60 (RM845.41).

Sebelum ini, FIFA turut menurunkan harga tiket kepada AS$11.15 (RM47.23) bagi dua perlawanan suku akhir, antara Fluminense dan Al Hilal di Orlando, Florida serta satu lagi di Philadelphia membabitkan Chelsea menentang Palmeiras.

Sepanjang kejohanan itu berlangsung, kebanyakan perlawanan menyaksikan kehadiran penonton yang agak rendah.

Namun, Real menjadi pengecualian dengan kehadiran sekurang-kurangnya 60,000 penyokong dalam kesemua lima perlawanan mereka, malah kemenangan suku akhir menentang Borussia Dortmund 3-2 di New Jersey semalam mencatat jumlah penonton seramai 76,611 orang.

Menilai situasi harga tiket Chelsea menentang Palmeiras, tiket perlawanan menyaksikan Harimau Malaya menentang Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu ternyata jauh lebih mahal apabila dijual pada harga RM70 bagi tempat duduk grandstand. – AGENSI