SHAH ALAM: Bekas pemenang Piala AFF 2010, Mahali Jasuli optimis skuad Harimau Malaya mampu ‘mengaum’ pada saingan Piala AFF 2024 yang akan membuka tirainya, Disember depan.
Bekas pemain kebangsaan itu menyifatkan skuad bimbingan Pau Marti Vicente memiliki kombinasi mantap menerusi gabungan pemain tempatan, pemain berdarah kacukan serta pemain naturalisasi dalam misi menamatkan kemarau 14 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada 2010.
“Pada pandangan saya, bola sepak kita berada pada tahap yang baik dengan barisan pemain yang ada. Kita ada campuran pemain warisan dan naturalisasi, saya rasa ini peluang terbaik untuk kita menjadi juara.
“Memang saya yakin bahawa Malaysia akan mencipta sejarah (memenangi Piala AFF) pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada klinik bola sepak sempena Siri Jelajah Piala AFF 2024 di sini, hari ini.
Sebagai rekod, Malaysia menjuarai Piala AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat pada aksi final edisi 2010.
Selepas itu, skuad negara terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara pada edisi 1996, 2014 dan juga 2018.
Edisi kali ini menyaksikan skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand diikuti Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste.
sumber:-BH
Saingan Kumpulan B pula bakal menampilkan Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.