sukan

Harimau Malaya bakal berdepan China di Guangzhou

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan memulakan langkah awal dalam usaha mengembalikan taring Harimau Malaya apabila mengesahkan skuad negara bakal berdepan China dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangzhou, November depan.

Dua perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 17 November itu dilihat sebagai peluang penting buat skuad negara mengutip mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam usaha memperbaiki kedudukan dunia.

Ab Ghani berkata, perancangan itu antara usaha FAM memastikan Harimau Malaya berada pada kedudukan ranking lebih baik sekali gus menghuni balang undian terbaik menjelang saingan kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032 yang dijadualkan bermula pertengahan tahun depan.

Menurutnya, perlawanan menentang pasukan yang beraksi di pentas antarabangsa itu penting bagi memberikan pendedahan kompetitif kepada skuad negara selain membantu meningkatkan kedudukan ranking FIFA.

“November ini kita dalam rangka untuk mendapatkan tier yang terbaik ataupun kedudukan ranking yang baik. Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan Tier 1 antarabangsa kerana ada kutipan mata penting untuk meningkatkan ranking kita.

“Bila bercakap tentang pot yang baik, sudah tentunya berkait rapat dengan ranking dan perlawanan persahabatan seperti ini amat diperlukan.

“Jadi pada November ini telah pun disahkan, kita akan mengadakan dua perlawanan dengan China di Guangzhou pada 14 dan 17 November.

“Ini juga persiapan-persiapan yang kita harus lakukan untuk Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan tersebut, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Aksi di Guangzhou itu menyaksikan Harimau Malaya sekali lagi bakal beraksi di gelanggang lawan dalam jendela antarabangsa FIFA November ini.

Perancangan berkenaan turut memperlihatkan komitmen kepimpinan baharu FAM untuk memastikan skuad negara mendapat persiapan sewajarnya dalam menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan.

Dengan undian kelayakan Piala Dunia 2030/Piala Asia 2032 menjadi antara sasaran penting, peningkatan ranking FIFA bakal menjadi satu daripada aspek yang perlu diberi perhatian bagi membantu Malaysia mendapatkan kedudukan balang lebih baik.

Bagi Ab Ghani, dua aksi menentang China itu bukan sekadar mengisi kalendar perlawanan antarabangsa, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha membina semula kekuatan Harimau Malaya serta memastikan pasukan negara lebih bersedia menghadapi cabaran di pentas Asia.