sukan

Harimau Malaya boleh dianggap tidak bernasib baik

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya boleh dianggap tidak bernasib baik selepas gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan slot automatik ke Piala Asia 2027 meskipun berjaya mengutip 10 mata dengan kosong perbezaan jaringan.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon terpaksa akur menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan D di belakang Oman selaku juara dengan 13 mata dan Kyrgyzstan sebagai naib juara dengan 11 mata.

Sekiranya Malaysia berada di lima kumpulan lain, 10 mata yang dikutip skuad Harimau Malaya pada kempen kelayakan sebenarnya sudah mencukupi untuk mereka mengesahkan kemaraan.

Sebagai contoh, Kuwait hanya memerlukan tujuh mata dan memiliki kosong perbezaan gol untuk menjadi naib juara Kumpulan A mengiringi Qatar yang menjadi juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.

Korea Utara juga meraih slot automatik ke Piala Asia 2027 apabila menamatkan saingan Kumpulan B dengan sembilan mata di belakang Jepun yang mengungguli kumpulan terbabit dengan mata maksimum 18 mata.

China juga hanya meraih lapan mata dan kosong perbezaan jaringan namun sudah cukup untuk membantu mereka menjadi naib juara Kumpulan C di belakang gergasi Asia, Korea Selatan.

Seteru tradisi, Indonesia yang mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama meraih 10 mata sama seperti Malaysia namun mereka bergelar naib juara Kumpulan F.

Begitu juga Palestin yang mengutip lapan mata namun mereka tetap mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya sebagai naib juara Kumpulan I di belakang Australia.

sumber:-BH

Kegagalan skuad negara meraih slot automatik ke Piala Asia 2027 menyaksikan mereka perlu mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung bermula Mac tahun depan.