KUALA LUMPUR: Faisal Halim mendapat ratusan ucapan ‘istimewa’ daripada peminat sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-27, semalam.
Ucapan dibuat peminat menerusi komen di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu mengucapkan selamat hari lahir selain turut memuat naik gambar Faisal.
Berdasarkan tinjauan di ruangan komen, banyak ucapan daripada peminat yang mahu melihat Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey kembali menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
Tidak ketinggalan juga ramai peminat yang terus mendoakan supaya pemain kebangsaan dan Selangor itu dapat kembali kepada prestasi terbaiknya seperti sebelum ini.
Antara komen peminat termasuk dari akaun Facebook yang menggunakan nama Cucu Ghazali: “Happy birthday Mickey, tolong kembali ke HM (Harimau Malaya). Hilang aura HM bila Mickey tak ada”.
Halijah Yusof pula meninggalkan komen: “Selamat hari ulang tahun Faisal Halim. Semoga anda kuat dan pulih dari trauma dan semoga yang Maha Esa memberi kesihatan yang sihat serta permudahkan anda supaya dapat beraksi dalam HM”.
Muhammad Amzar Syazwan menulis: “Selamat Ulang tahun FH (Faisal Halim)…semoga tahun 2025 (menjadi) tahun kembalinya FH ke national team (pasukan kebangsaan)”.
Faisal berdepan peristiwa pahit selepas menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara pada Mei tahun lalu yang menyaksikan dia mengalami luka lecuran tahap empat di beberapa bahagian badan.
Insiden itu menyebabkan Faisal terpaksa mengambil masa untuk pulih dan selepas insiden itu juga dia tidak dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya.
Faisal bagaimanapun kini sudah semakin mendapat rentak dan beraksi dalam beberapa perlawanan bersama Selangor selepas membuat penampilan pertama dalam Liga Super musim ini berdepan Kelantan Darul Naim, 10 Ogos lalu.
Sementara itu, Faisal menerusi laman Instagram turut memuat naik gambar sambutan hari lahir bersama isteri dan anak lelakinya.
sumber:-BH
“Alhamdullilah hari ini umur 27. Tahun 2025, Insya-Allah mula dengan semangat baru,” tulis Faisal.