KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya sepatutnya menuju ke aksi terakhir kelayakan berdepan Vietnam dengan ‘gembira’ apabila boleh dianggap hanya selangkah untuk ke Piala Asia 2027.
Berdasarkan kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad bimbingan Peter Cklamovski yang menghimpun 15 mata maksimum hanya perlu mengelak daripada tewas besar pada aksi di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Selasa ini.
Namun, isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain menyebabkan Harimau Malaya dipotong enam mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana menurunkan pemain tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam.
Tinggal sembilan mata dengan hanya berbaki satu perlawanan ketika Vietnam sudahpun menghimpun 15 mata, skuad negara terpaksa ‘berputih mata’ impian ke Piala Asia 2027 musnah atas faktor ‘luar padang’.
Namun jurulatih berpengalaman, Mohd Fauzi Pilus menegaskan aksi terakhir berdepan Vietnam tetap memiliki signifikan tersendiri meskipun pintu skuad negara ke Arab Saudi sudah tertutup rapat.
Tegasnya, barisan pemain perlu optimis dan mengetepikan kekecewaan terbabit dengan memberi fokus untuk melakar kemenangan sekali gus mengutip mata bagi memperbaiki ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Jelasnya, tiada istilah perlawanan ‘sia-sia’ kerana pemain seharusnya memberikan yang terbaik bagi menutup kempen kelayakan dengan nada positif selain menebus maruah negara yang sudah tercalar.
“Saya rasa pemain pun tidak memandang ringan perlawanan ini dan menganggap ia sangat penting. Memang kita sudah tidak layak ke Piala Asia 2027 tetapi kita boleh kejar mata ranking FIFA.
“Tambahan pula ranking kita pun sudah jatuh sampai 14 anak tangga, saya lihat ini peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menebus semula mata yang hilang itu.
“Pemain perlu kekal optimistik dan cara berfikiran juga perlu sentiasa progresif. Pemain kena persiapkan diri dengan mantap walaupun kita tahu perlawanan ini tidak membawa kita ke Piala Asia 2027,” katanya.