sukan

Harimau Malaya jangan hanyut dengan pujian, tugasan lebih mencabar menanti

Pengendali interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya supaya tidak hanyut dengan pujian selepas mencatat kempen positif pada saingan sulung Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta, semalam.

Harimau Malaya menamatkan saingan dengan rekod empat perlawanan tanpa kalah selain tidak bolos, sekali gus membantu skuad negara meraih tempat ketiga dalam kejohanan berkenaan.

Namun, Cheng Hoe berkata pencapaian itu tidak seharusnya membuatkan pemain berasa selesa, sebaliknya perlu dijadikan pencetus untuk mereka meningkatkan lagi prestasi masing-masing.

“Selepas keputusan tersebut, kita masih perlu mempertingkatkan prestasi individu. Kita tidak boleh hanyut dengan pujian kerana perjalanan kita masih panjang,” katanya sebaik tiba bersama pasukan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Menurutnya, kejayaan di Jakarta turut memberi suntikan besar kepada keyakinan penyokong selepas pemain sebelum ini berdepan tekanan untuk memenuhi harapan tinggi peminat.

Katanya, pemain sedar mereka perlu memberikan persembahan terbaik serta keputusan positif bagi mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap pasukan kebangsaan.

“Memang sebelum perlawanan, saya rasa pemain juga ada sedikit rasa tekanan kerana kita perlukan keputusan terbaik untuk mendapat sokongan daripada penyokong yang begitu mengharapkan Malaysia memberikan satu persembahan terbaik,” katanya.

Cheng Hoe berkata, sokongan penyokong yang kembali meningkat selepas kempen di Jakarta perlu dikekalkan kerana ia menjadi antara elemen penting dalam perjalanan Harimau Malaya menghadapi cabaran seterusnya.

“Kita memang mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong-penyokong Harimau Malaya,” katanya.

Beliau pada masa sama mahu momentum positif yang diraih di Jakarta diteruskan dengan kerja lebih keras, terutama dalam aspek peningkatan prestasi individu pemain.

“Yang penting sekarang, kita perlu terus bekerja keras dan mempertingkatkan prestasi pasukan,” katanya.

Selepas ini, tugasan lebih mencabar menanti skuad negara apabila dijadual berdepan pasukan di ranking ke-94 dunia iaitu China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangzhou, pada 14 dan 17 November ini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menentang China adalah pada 2023 ketika dilatih Kim Pan-gon yang menyaksikan skuad negara melakar sensasi apabila mengikat lawan 1-1 dalam aksi persahabatan rasmi di Chengdu dengan gol tunggal pasukan diraih menerusi Faisal Halim sebelum disamakan oleh Lin Liangming.