sukan

Harimau Malaya mampu mengaum lebih garang – Cheng Hoe

PENGARAH Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menaruh keyakinan terhadap kemampuan pasukan negara untuk menjadi lebih kuat dalam fasa revolusi yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurutnya, perkembangan positif sudah mula kelihatan menerusi pengurusan yang lebih tersusun serta kehadiran ramai pemain warisan dan tempatan yang mampu memacu kemajuan skuad kebangsaan.

“Kita nampak perubahan, dan sekarang kita fokus kepada kempen kelayakan Piala Asia yang agak mencabar kerana hanya juara kumpulan yang akan layak.

“Pada masa yang sama, dari segi pengurusan, semuanya kelihatan lebih tersusun dengan kehadiran ramai pemain warisan dan juga pemain tempatan.

“Ia sudah tentu mampu mengangkat pasukan Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya, yang sebelum ini pernah membimbing skuad Harimau Malaya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peranannya sebagai Pengarah Teknikal pasukan kebangsaan, beliau mengakui ia merupakan satu cabaran besar buat dirinya.

“Ini adalah satu cabaran bagi saya. Saya sebelum ini sentiasa berada di dalam padang, dan kali ini saya berada di luar padang. Saya sangat teruja dengan projek yang dicetuskan oleh Tunku Mahkota Ismail.

sumber:- SH

“Baginda memberikan kesempatan kepada saya untuk bersama pasukan Harimau, sekali gus mencetuskan semangat saya,” katanya.