sukan

Harimau Malaya menguji pasukan di ranking ke-126 dunia

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akan menguji pasukan di ranking ke-126 dunia, India pada aksi persahabatan Tier 1 yang akan berlangsung pada 19 November depan.

Perlawanan itu memberikan peluang terbaik untuk skuad bimbingan Pau Marti Vicente yang menduduki tangga ke-132 dunia mengutip mata ranking memandangkan ia bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 11 hingga 19 November.

Dalam masa sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini masih sedang mengesahkan satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, badan induk itu dalam satu kenyataan mengesahkan venue dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan oleh pihak tuan rumah iaitu Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bertemu India ialah pada 13 Oktober 2023 untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang mana skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Kim Pan Gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia turut pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara tersebut pada 2011 yang mana skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati.

sumber:-BH

Pada aksi kedua yang berlangsung di Kolkata, skuad kebangsaan akur tewas tipis 2-3.