sukan

Harimau Malaya mungkin uji dua pasukan gergasi

KUALA LUMPUR: Pasukan dari Oceania dijangka menjadi lawan buat Harimau Malaya pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada awal bulan depan.

Selepas mengesahkan aksi persahabatan dengan New Zealand, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengatur satu lagi aksi persahabatan untuk melengkapkan dua perlawanan persahabatan yang boleh dilangsungkan dalam tempoh itu.

Noor Azman berkata, mereka menyerahkan urusan terbabit kepada Persatuan Bolasepak New Zealand selain turut menafikan skuad bimbingan Pau Marti Vicente akan menentang pasukan di tangga ke-33 dunia, Russia pada bulan depan.

“Sememangnya skuad Harimau Malaya kemungkinan akan mengharungi dua perlawanan persahabatan pada Oktober ini dan mungkin satu lagi pasukan adalah berpengkalan di Oceania.

“Sekarang ini, kita menunggu maklumbalas daripada New Zealand yang membantu untuk mengatur perlawanan persahabatan itu selepas menentang pasukan mereka.

“Pada masa sama, terdapat khabar angin menentang Rusia adalah tidak benar walaupun sebelum ini memang ada permintaan untuk mengadakan perlawanan persahabatan namun masanya tidak kena,” katanya.

Terdahulu, badan induk itu mengumumkan juara Pestabola Merdeka 2024 itu akan menentang New Zealand yang ketika ini menghuni ranking ke-94 dunia di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober.

Selepas itu, media Russia melaporkan Malaysia dan Turkmenistan dijangka menjadi pilihan mereka untuk aksi persahabatan untuk jendela FIFA kali ini.

“Bagi bulan Oktober, mereka akan menentang lawan dari benua Asia, berkemungkinan besar Malaysia dan Turkmenistan.

sumber:-BH

“Malaysia akan berada di Auckland untuk menentang New Zealand pada 14 Oktober, mereka boleh menentang Russia pada 9 atau pun 10 Oktober,” lapor media itu.