KUALA LUMPUR: Meskipun skuad Harimau Malaya perlu ‘mengamuk’ dan mendapatkan sekurang-kurangnya lapan gol ke atas Taiwan pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di laman sendiri, Selasa ini, namun jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan ia misi getir tetapi tidak mustahil.
Justeru, Sulaiman yang juga bekas jurulatih UKM FC mengharapkan barisan pemain khususnya di jentera serangan yang bakal dipertaruhkan Kim Pan Gon dapat tampil dengan aksi yang lebih kemas dan tenang di hadapan gol.
Tegasnya, skuad negara tidak boleh ‘membazirkan’ setiap peluang yang ada kerana matlamat utama pada aksi penting ini adalah untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Jaringan akan menjadi faktor utama untuk kita layak ke pusingan seterusnya jadi kita kena pastikan setiap peluang yang diperolehi dapat diterjemahkan sebagai gol.
“Jangan kita terlalu tergopoh-gapah untuk mendapatkan gol kerana takut peluang yang kita ada akan terlepas begitu sahaja dan ini akan menambahkan lagi tekanan kepada pasukan negara.
“Saya percaya barisan pemain terbaik akan diturunkan Pan Gon dan peluang yang terhidang perlu disudahkan dalam misi skuad negara mencari jaringan yang diperlukan,” kata Sulaiman.
Dalam perkembangan sama, Sulaiman juga melontarkan rasa optimis jentera serangan negara memiliki kemampuan untuk merobek gawang Taiwan sekali gus mengharapkan mereka terus memperaga aksi terbaik pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
“Saya lihat barisan pemain yang diturunkan seperti di Kyrgyzstan sebelum ini sudah cukup baik. Cuma kita harapkan pemain seperti Paulo Josue, Akhyar Rashid, Stuart Wilkins dan beberapa pemain lain dapat menyerlah dan menjadi penjaring buat negara kita.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada Pan Gon untuk mengatur barisan terbaik mengikut hemat beliau untuk memastikan kita layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Berbaki satu lagi perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata meskipun satu ketika mendahului saingan peringkat kumpulan selepas dua perlawanan pertama hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.
sumber:-BH
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sekali gus mendapat slot automatik ke Piala Asia 2027.