KUALA LUMPUR: Harimau Malaya bakal menjadikan pasukan Liga Super sebagai ‘sparring’ atau aksi ujian sebelum mengharungi baki dua perlawanan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.
Ia susulan kekangan masa yang dihadapi untuk mendapatkan aksi persahabatan antarabangsa dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya bermula dari 3 hingga 11 Jun.
Skuad kendalian Kim Pan Gon akan menentang Kyrgyzstan, 6 Jun di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum melayan kunjungan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan pihaknya tidak dapat mengatur perlawanan persahabatan membabitkan pasukan negara lain memandangkan ketika ini di luar kalendar FIFA.
Beliau berkata, situasi terbabit menyebabkan Harimau Malaya terpaksa mengadakan perlawanan persahabatan dalam negara bagi menyediakan skuad mantap untuk menghadapi Kyrgyzstan dan Taiwan.
“Kalau boleh memang kita mahu skuad Harimau Malaya mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih kuat supaya lebih bersedia bertemu Kyrgyzstan.
“Semua pasukan negara lain tidak boleh mengadakan perlawanan persahabatan. Oleh itu, pasukan negara hanya akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan tempatan untuk Pan Gon menguji pemain,” katanya.
sumber:-BH
Harimau Malaya kini berada di tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang menghuni dua kedudukan teratas.