KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak negara yang menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Timor Leste pada aksi Piala ASEAN malam tadi sudah pastinya tergamam apabila pelawat mencipta kejutan dengan mendahului 2-1 menuju ke bilik persalinan.
Jelas ramai yang seakan tidak percaya menyaksikan Malaysia yang menjadi antara kuasa bola sepak di Asia Tenggara ‘diaibkan’ pasukan di ranking ke-196 dunia dengan dua gol pantas menerusi Olagar Xabier dan Joao Pedro pada masa kecederaan.
Ini menyaksikan pemain negara ‘diboo’ oleh penyokong yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika menuju ke bilik persalinan dan meletakkan mereka dengan tekanan besar untuk mengelak potensi tersingkir awal pada edisi kali ini.
Bagaimanapun, anak buah Pau Marti Vicente ‘menterbalikkan’ kedudukan pada babak kedua menerusi dua jaringan Paulo Josue diminita ke-70 dan 83 sekali gus membantu skuad negara meraih kemenangan pertama selepas terikat 2-2 menentang Kemboja, Ahad lalu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim turut mengakui dia sama sekali tidak pernah membayangkan Malaysia akan bergelut untuk menewaskan Timor Leste meskipun sekadar menurunkan barisan alternatif bagi kempen kali ini.
Tegasnya, skuad negara tidak seharusnya berhempas pulas untuk menewaskan pasukan lawan terutamanya selepas mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara gergasi bola sepak di rantau ini.
“Sebenarnya kita memang sedar yang kita tidak akan dapat beraksi dengan baik terutama apabila gagal menghimpunkan pemain yang terbaik. Sebab itulah kita sudah jangkakan bahawa kita tidak boleh begitu berharap untuk pergi jauh.
“Tetapi tidaklah sampai kita perlu berhempas pulas untuk menewaskan pasukan seperti Timor Leste. Kita tidak sepatutnya diaibkan sebegitu rupa walaupun kita dapat menang tipis menentang mereka.
“Sedangkan pasukan lain pun menghantar barisan kedua tetapi mereka boleh menang besar, tidak seperti kita yang hampir tewas sebelum bangkit untuk mendapatkan kemenangan.
sumber:-BH
“Tidak dapat terjangkau oleh akal fikiran saya di mana satu hari nanti kita akan menghadapi situasi ini apabila berdepan pasukan seperti Timor Leste. Inilah yang terjadi apabila kita tidak memandang serius mengenai pertandingan ini,” katanya.