sukan

Harimau Malaya tanpa tonggak utama hadapi Piala ASEAN?

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya berkemungkinan membariskan skuad campuran pada penyertaan di Piala ASEAN 2024, bulan depan.

Bagaimanapun, bentuk dan kombinasi pemain hanya akan ditentukan oleh ketua jurulatih Pau Marti Vicente yang mana beliau dijangka mengeluarkan senarai penuh, minggu depan.

Melihat kepada Piala ASEAN yang berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), banyak kelab mungkin tidak akan melepaskan pemain utama mereka apatah lagi kejohanan berlangsung ketika saingan Liga Super dan Piala Malaysia berjalan.

Malah, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melepaskan tiga tonggak iaitu Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin daripada menyertai perlawanan persahabatan menentang India, Isnin ini seakan memberi gambaran skuad Harimau Malaya di Piala ASEAN 2024.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan tiada isu mengenai tindakan FAM melepaskan tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Sebenarnya ia keputusan jurulatih, dia bawa 23 pemain ke India kerana kebiasaan memang bawa 23 pemain. Tidak (risau jadi ikutan pasukan lain) kerana itu adalah keputusan ketua jurulatih.

“Untuk (aksi dengan) India, ketua jurulatih sudah melakukan persiapan buat pasukan. Perlawanan di India adalah persiapan untuk Piala ASEAN dan dia akan umum senarai selepas dia pulang nanti.

“Kemungkinan (ini bayangan skuad Piala ASEAN) tetapi kita tunggu keputusan Pau, minggu depan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Produk Minuman ‘Pablo Dollah’ milik bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh semalam.

Terdahulu, FAM mengumumkan hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi aksi pesahabatan, Isnin ini selepas Davies, Feroz dan Arif Aiman dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada JDT.

sumber:-BH

Ia susulan jadual dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia antara JDT dan Kuala Lumpur Rovers FC dilangsungkan, Rabu ini.