Kuala Lumpur: Harimau Muda kembali mengaum!
Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala Mandiri B-23 ASEAN apabila membelasah Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Anak buah Nafuzi Zain tampil garang sejak sepak mula apabila hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan menerusi tandukan padu Danish Syamer hasil hantaran lintang Aiman Yusof.
Selang seminit kemudian, pertahanan Brunei, Nazry Aiman menambahkan derita pasukannya sendiri apabila tertampan bola ke gawang susulan hantaran Shafizan Arshad menjadikan kedudukan 2-0 seawal minit ke-3.
Malaysia terus garang apabila pemain tengah Selangor, Haykal Danish menyambut lambungan cantik daripada Haqimi Azim sebelum merembat masuk jaringan ketiga pada minit ke-31.
Danish Syamer sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan gerakan satu dua bersama Haqimi Azim pada minit ke-41 untuk gol keempat iaitu jaringan keduanya dalam perlawanan itu.
Separuh masa pertama berakhir dengan Malaysia selesa mendahului 4-0. C
Babak kedua menyaksikan rentak menyerang diteruskan dengan pemain tengah, Danish Hakimi meledak gol kelima hasil kombinasi kemas bersama Haykal Danish dan Fergus Tierney pada minit ke-69.
Namun, benteng negara sedikit leka apabila Brunei berjaya meraih gol sagu hati pada minit ke-74 menerusi Haziq Naqiuddin Syamra susulan kesilapan pertahanan sendiri.
Fergus Tierney pantas membalas gol Brunei dengan jaringan keenam seminit kemudian dengan kali ini dari sudut sempit yang memukau.
Haqimi Azim melengkapkan malam gemilang Malaysia apabila meledak gol ketujuh pada minit ke-88 selepas barisan pertahanan Brunei gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Kemenangan besar itu bukan sekadar menghadiahkan tiga mata pertama buat Malaysia, malah turut menyuntik semangat menjelang aksi hidup mati menentang tuan rumah Indonesia selepas ini.
sumber:- HM
Sementara itu, Brunei yang sudah sah tersingkir akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Filipina.