sukan

Harimau Muda nekad jinakkan Garuda di ‘gelanggang keramat’ Indonesia

KUALA LUMPUR: Kekuatan mental dan fizikal bakal menjadi benteng ampuh buat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara apabila turun menentang Indonesia dalam perlawanan hidup mati saingan Piala AFF B-23 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), di Jakarta, Indonesia malam esok.

Menurut pengendali pasukan, Nafuzi Zain, suasana GBK dijangka riuh dengan ribuan penyokong tuan rumah bakal membanjiri venue itu pada aksi terakhir Kumpulan A yabg bakal menjadi penentu hala tuju kedua-dua pasukan.

Jelas Nafuzi yang juga bekas pengendali Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC itu, beliau mahu anak didiknya memberi fokus sepenuhnya dengan tidak melayan sebarang provokasi melampau penyokong tuan rumah.

“Kita tahu dan semua tahu yang penyokong Indonesia begitu luar biasa, dengan penyokong fanatik.

“Pemain saya harus bersedia dari segi mental dan juga fizikal, yang penting kita main dengan penuh keyakinan walaupun ribuan penyokong yang memberi sokongan kepada Indonesia.

“Kita harap kita dapat menyerap tekanan dan kita dapat bermain seperti apa yang kita rancang,” kata bekas pemain itu.

Malaysia memerlukan kemenangan besar ke atas skuad Garuda dengan wajib memburu tiga gol ke atas tanpa bolos di GBK untuk muncul juara kumpulan, sekali gus menempah tiket automatik ke separuh akhir.

Sekiranya skuad Harimau Muda sekadar menang 2-0 atau 1-0, peluang pasukan untuk melangkah ke pusingan empat terbaik dilihat agak tipis.

Ketika ini, skuad kendalian Nafuzi mengumpul tiga mata daripada dua aksi dilalui selepas tumbang 0-2 di tangan Filipina dan menang besar ke atas Brunei 7-1.

Mengulas mengenai peluang pasukan, beliau akui bukan mudah untuk menundukkan lawan namun dalam bola sepak tiada apa yang mustahil.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk saya Indonesia adalah calon untuk menjuarai kejohanan ini. Tetapi kita tahu kita tidak harus mengaku kalah kerana kita perlu mencari kemenangan untuk melayakkan kita ke peringkat separuh akhir.

“Kita kena betul-betul bersedia menghadapi Indonesia yang begitu baik dan kuat, dan bagus sekali apa yang kita dapat lihat.

sumber:- HM

“Kita tidak akan mundur dan akan cuba sedaya upaya untuk perlawanan dengan Indonesia, InsyaAllah,” katanya.