sukan

‘Harimau’ warisan fasa dua bakal menjelma Ogos ini

KUALA LUMPUR: Taring skuad Harimau Malaya dijangka terus tajam apabila dikhabarkan kemungkinan pemain warisan fasa kedua bakal menyusul bermula pada Ogos ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam pemburuan status sebagai pasukan elit Asia.

Program yang mula diperkenalkan awal tahun ini mensasarkan pemain berdarah Malaysia yang berkelana di luar negara, khususnya di Eropah dan Amerika Latin, untuk kembali menyarung jersi kebangsaan demi mengangkat nama negara di pentas antarabangsa.

Selepas fasa pertama berjaya membuat penampilan pada aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam baru-baru ini, tumpuan kini terarah kepada kemasukan barisan baharu yang dijangka mengukuhkan lagi skuad kendalian Peter Cklamovski.

Sumber terdekat memaklumkan, antara enam hingga 10 pemain gred A sedang diperhalusi oleh pasukan pemantau dan proses dokumentasi kini berada di peringkat akhir bagi memastikan kelancaran penampilan mereka dalam jendela aksi antarabangsa FIFA, September ini.

Malah Cklamovski juga mengakui mempunyai senarai panjang nama-nama pemain berdarah kacukan di luar negara.

“Kita sedang meneliti pemain warisan yang beraksi di luar negara kerana mereka juga adalah pemain Malaysia.

“Terdapat senarai panjang pemain warisan di luar negara yang juga adalah pemain Malaysia. Namun begitu, mereka perlu melalui proses tertentu untuk membolehkannya bersama Harimau Malaya,” katanya.

Difahamkan pemain yang bakal dipanggil kelak bukan sahaja memiliki kualiti teknikal yang tinggi, malah berpengalaman luas dalam liga kompetitif iaitu satu kelebihan yang mampu mengubah DNA permainan Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Penampilan pemain warisan baharu seperti Facundo Garces, Jon Irazabal,Hector Hevel, Joao Figueiredo,Rodrigo Holgado,Gabriel Palmero dan Imanol Machuca nyata memberi impak besar sekali gus menjadi bukti betapa strategi ini bukan sekadar ‘projek kilat’, namun pelaburan masa depan bola sepak negara.

Lebih menarik, projek ini akan diteruskan secara berperingkat hingga Harimau Malaya menembusi kelompok 100 terbaik dunia, satu misi jangka panjang yang menuntut komitmen jitu di peringkat pentadbiran, teknikal dan akar umbi.

sumber:- HM

Jika segalanya berjalan lancar, barisan fasa kedua ini bakal menjadi antara kumpulan pemain warisan paling berkualiti pernah dimiliki Malaysia berdasarkan kepada prestasi dan kelab yang diwakili mereka.