sukan

Harry Kane buktikan yang dia bukan ‘pemalas’

DORTMUND, Jerman: Penyerang England, Harry Kane mencipta rekod Kejuaraan Eropah menerusi gol penyamaannya pada separuh akhir menentang Belanda, awal pagi tadi.

Three Lions ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Xavi Simons namun mendapat penalti 11 minit kemudian selepas rembatan Kane dihadang oleh Denzel Dumfries.

Kapten England itu menyudahkan sepakan penalti terbabit bagi gol penyamaan England.

Ia adalah jaringan keenam Kane pada pusingan kalah mati di Euro, lebih banyak berbanding pemain lain dalam sejarah pertandingan itu.

Kane kini mengatasi pemain Perancis, Antoine Griezmann yang meledak lima gol pada pusingan kalah mati.

Ia Euro ketiga buat Kane namun dia gagal meledak sebarang gol dalam edisi sulungnya pada 2016.

Dia kemudiannya bangkit lima tahun kemudian apabila menjaringkan gol menentang Jerman, dua gol ke atas Ukraine selain menjaringkan satu gol ketika membantu England menang ke atas Denmark pada separuh akhir.

Dia gagal menambah gol pada aksi final menentang Itali di Wembley.

Persembahannya pada Euro 2024 di Jerman sering kali dikritik namun dia menjaringkan gol kemenangan ke atas Slovakia pada pusingan 16 terakhir.

sumber:-BH

Dia meledak gol keenamnya pada pusingan kalah mati apabila mengikat kedudukan buat England ketika menentang Belanda. – AGENSI