sukan

Harry Kane sekali lagi ‘terluka’

BERLIN: Kapten England, Harry Kane mengakui kekalahan 2-1 di tangan Sepanyol pada aksi final Euro 2024, awal pagi tadi akan ‘menyakiti’ mereka untuk tempoh yang lama.

Ia adalah kali kedua berturut-turut skuad Three Lions tewas pada final Euro.

Sebelum ini, England turut mengalami kekalahan di pentas final ketika tewas di tangan Itali menerusi penentuan penalti pada edisi 2020 di Wembley selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia dua tahun sebelum itu.

England turut tersingkir pada suku akhir Piala Dunia 2022 selepas tewas di tangan Perancis dengan Kane terlepas penalti pada lewat permainan.

Bercakap kepada ITV, kapten England itu yang dikeluarkan pada minit ke-60, berkata kekalahan terkini dalam kejohanan utama itu selepas gol kemenangan lewat Sepanyol adalah sesuatu yang sukar untuk diterima.

“Sukar untuk diungkapkan bagaimana perasaan kami sekarang… Kami berjaya untuk kembali ke dalam permainan dan bergelut untuk membina momentum,” kata Kane.

Sepanyol kehilangan pemain tengah berpengaruh, Rodri pada separuh masa pertama susulan masalah kecederaan tetapi ia tidak menghalang pasukan itu untuk mendahului menerusi jaringan Nico Williams yang menerima umpanan pemain sayap, Lamine Yamal dua minit selepas rehat.

England bagaimanapun kembali bangkit seperti yang sering dilakukan dalam kempen Euro kali ini apabila pemain gantian, Cole Palmer menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Namun, kebangkitan mereka dalam perlawanan itu dinafikan pemain gantian, Mikel Oyarzabal yang juga penyerang Real Sociedad apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Marc Cucurella empat minit sebelum tamat.

“Kami ketinggalan sepanjang kejohanan, kami mempunyai kebolehan untuk bangkit. Kami tidak mengambil langkah seterusnya dan memenanginya,” kata Kane.

“Separuh masa kedua lebih baik dan kami mendapat gol. Kami terperangkap dengan hantaran lintang dan itulah penamatnya.”

Walaupun memiliki karier individu yang cemerlang dengan pelbagai anugerah penjaring gol, Kane yang berusia 30 tahun masih belum memenangi sebarang trofi bersama pasukan.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, Kane berkata dia rela “menukar segala-galanya dalam kerjayanya untuk kejayaan di Euro.”

Penyerang itu menamatkan kejohanan dengan tiga gol tetapi bergelut dengan kecederaan belakang.

“Ia satu peluang yang disia-siakan. Final ini tidak mudah untuk dicapai. Anda perlu mengambilnya apabila ia datang dan kami sekali lagi gagal melakukannya.

sumber:-BH

“Ia sangat menyakitkan dan ia akan menyakitkan untuk jangka masa yang lama.” – AFP