KUALA LUMPUR: Hasrat tonggak pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia masih belum dapat direalisasikan susulan proses naturalisasi belum selesai.
Difahamkan pemain berusia 32 tahun itu sudah memenuhi syarat lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia seperti ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada awal tahun ini dan sedang menunggu langkah seterusnya sebelum layak mewakili Harimau Malaya.
Gallifuoco yang juga pemain kelahiran Australia berkata, dia dimaklumkan bahawa proses berkenaan tidak dapat diteruskan sehingga surat rasmi daripada FIFA diterima.
“Berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya, kami masih menunggu surat daripada FIFA sebelum proses ini boleh diteruskan.
“Buat masa ini, perkara itu berada di luar kawalan saya. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah berdoa, bersabar dan terus bekerja keras setiap hari untuk menjadi pemain terbaik buat rakan sepasukan serta kelab saya. Saya berharap semuanya dapat dimuktamadkan.
“Malaysia adalah rumah saya, buat masa ini dan masa depan saya. Jadi, peluang untuk melalui proses ini sudah cukup memberi penghormatan kepada saya dan saya amat bersyukur,” katanya.
Gallifuoco mula berhijrah ke Liga Malaysia pada 2021 dan mencipta nama apabila membantu KL City muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT), 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sekiranya proses mendapatkan status naturalisasi dapat diselesaikan awal, mungkin Gallifuoco boleh memberikan pilihan tambahan kepada jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk saingan Piala ASEAN 2026 yang sedang berlangsung ketika ini.
Cheng Hoe sebelum ini berdepan kesukaran untuk membentuk skuad terbaik bagi Piala ASEAN susulan ketiadaan beberapa pemain utama kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar FIFA.
Selain Gallifuoco, pemain JDT, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo sebelum ini juga dikatakan bakal menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya selepas memenuhi syarat lima tahun beraksi di Liga Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar berkata prestasi cemerlang Gallifuoco sejak menyertai kelab itu menjadikannya calon yang wajar dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Gallifuoco sudah membuktikan bahawa dia layak diberi pertimbangan serius untuk skuad kebangsaan. Sejak menyertai KL City, dia menjadi antara pemain paling berpengaruh bukan sahaja kerana ciri kepimpinannya, malah atas faktor konsistensi dan profesionalisme.
“Dia mengubah kekuatan benteng pertahanan kami, meningkatkan standard pasukan dan membuktikan kemampuan beraksi pada tahap tertinggi bola sepak Malaysia.
“Apabila anda mempunyai pemain yang memberi sumbangan besar dan terus menunjukkan prestasi cemerlang setiap minggu, saya percaya dia layak diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya,” katanya.