Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mahu gandingan utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik segera memperbaiki permainan menjelang saingan Terbuka Denmark selepas tewas di final Terbuka Artik kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, Ahad lalu.
Harapan Malaysia untuk mencipta kemenangan berganda di kejohanan berkenaan tidak kesampaian apabila pasangan pilihan utama negara itu tumpas 18-21, 27-25, 17-21 dalam pertarungan sengit selama 75 minit.
Herry mengakui gandingan England yang berada di ranking ke-15 dunia tampil cukup meyakinkan di final apabila hampir tidak melakukan kesilapan dan berjaya mengekalkan fokus sepanjang perlawanan.
“Pemain England bermain sangat bagus di final, mereka jarang buat kesilapan dan kelihatan sangat yakin setiap kali menentang Aaron-Wooi Yik,” katanya.
Menurut Herry, Aaron-Wooi Yik pula gagal mengekalkan rentak permainan seperti yang dirancang, selain banyak melakukan kesilapan mudah yang akhirnya memberi ruang kepada lawan untuk menguasai permainan.
“Aaron dan Wooi Yik banyak buat kesilapan di final. Pelan permainan yang disusun tidak menjadi seperti sepatutnya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Herry optimis pasangan beregu nombor satu negara itu mampu bangkit dengan lebih baik menjelang aksi pusingan pertama Terbuka Denmark esok.
Pasangan ranking kedua dunia itu akan berdepan wakil Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian di pusingan pertama, lawan yang pernah mereka tewaskan sebanyak enam kali dalam 10 pertemuan.
“Saya harap mereka boleh tampil lebih baik di Denmark nanti. Gunakan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk perbaiki kelemahan,” kata pengendali kelahiran Indonesia itu.