sukan

Herry dedah punca utama prestasi Aaron-Wooi Yik merosot

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui prestasi gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menunjukkan penurunan selepas berakhirnya Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.

Menurut Herry, faktor utama penurunan itu adalah kekurangan rehat dan persiapan yang tidak mencukupi sebelum mereka kembali menyertai Terbuka Hong Kong selepas saingan di Paris.

“Selepas Kejohanan Dunia memang penampilan mereka agak menurun. Mungkin juga kerana rehat tak cukup, latihan pun tak cukup. Selepas itu cuma ada satu minggu persiapan, jadi memang tak cukup sebelum pergi ke Terbuka Hong Kong.

“Keadaan mereka pun memang tak bagus. Itu harus kita akui,” katanya mengenai bekas juara dunia itu.

Bagaimanapun, Herry menegaskan tiada gangguan dari luar gelanggang yang menjejaskan prestasi pasangan ranking kedua dunia itu.

“Tak ada (gangguan luar). Cuma keadaan mereka memang tidak bagus, begitu juga yang dialami hampir semua pemain. Masa rehat sangat penting untuk seorang pemain kerana jadual kejohanan sekarang terlalu padat.

“Bila rehat kurang, risiko kecederaan lebih tinggi dan itu perkara yang perlu kita elakkan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bimbang dengan prestasi Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini tersingkir di suku akhir Kejohanan Dunia dan kemudian kecundang seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong, Herry kekal tenang.

“Kalau ikut pengalaman saya, semua pemain pasti ada prestasi turun naik. Tak ada pemain yang sentiasa naik. Itu perkara normal dalam sukan.

“Nanti sama-sama kami perbaiki prestasi turun naik itu,” katanya.