Herry Iman beri amanat penting untuk aksi Final Sukan SEA Thailand

Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, tampil memberi amaran kepada negara kelahirannya, Indonesia, menjelang pertemuan final acara berpasukan lelaki Sukan SEA Thailand 2025 yang bakal berlangsung esok.

Pertemuan penuh prestij ini bukan sekadar perebutan pingat emas, tetapi juga peluang keemasan buat Malaysia menamatkan penantian panjang selama dua dekad. Kali terakhir skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan lelaki adalah pada edisi Sukan SEA Manila 2005, menjadikan final kali ini sebagai misi penuh bermakna.

Herry menegaskan bahawa barisan beregu negara akan berada di tahap terbaik dalam perlawanan penentuan itu. Beliau mengakui persembahan anak buahnya masih belum mencapai tahap maksimum, namun yakin mereka mampu bangkit dengan lebih mantap di pentas final.

“Walaupun menang, persembahan mereka masih belum mencapai tahap terbaik. Semoga dalam final mereka dapat berikan terbaik. Ia menjadi lebih sukar untuk bertemu Indonesia kerana namanya pertandingan, apa pun boleh terjadi. Biasalah negara yang diunggulkan biasanya akan lebih tertekan,” katanya penuh keyakinan.

Tumpuan pastinya terarah kepada gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan peluang Malaysia. Mereka bakal berdepan pasangan nombor lapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman–Reza Pahlavi Isfahani, dalam pertarungan yang dijangka sengit.

Aaron mengakui bahawa sentuhan mereka semakin pulih, namun cabaran tetap besar memandangkan mereka sudah sebulan tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif sejak Terbuka Hylo di Jerman, Oktober lalu. Faktor ‘match fitness’ dilihat menjadi ujian utama buat juara dunia 2022 itu.

Selain Aaron-Wooi Yik, sandaran turut diberikan kepada pasangan muda Man Wei Chong-Tee Kai Wun. Walaupun mereka mempamerkan aksi kurang meyakinkan dalam separuh akhir menentang Thailand, Kai Wun menegaskan bahawa semangat juang seluruh pasukan tetap membara.

“Bukan kami sahaja, seluruh rakyat Malaysia inginkan emas acara berpasukan. Kami sepasukan juga begitu,” kata Kai Wun, menggambarkan tekad skuad negara untuk menghadiahkan kejayaan kepada tanah air.

Pertemuan Malaysia dan Indonesia dalam badminton sentiasa sarat dengan emosi dan sejarah panjang persaingan. Setiap kali kedua-dua negara bertemu, ia bukan sekadar perlawanan, tetapi pertarungan bermaruah yang menjadi simbol dominasi badminton Asia Tenggara.

Dengan semangat juang tinggi, sokongan padu rakyat Malaysia, dan strategi taktikal yang semakin mantap, skuad negara kini berada di ambang mencipta sejarah baharu di Bangkok.