KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi ditampilkan beregu ranking tujuh dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bermula sejak Masters Malaysia pada bulan lalu mendapat pujian ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.
Sekali pun langkah pasangan itu tersekat di peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia apabila tewas kepada gandingan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi pada Sabtu lalu, Herry yang diberi julukan Naga Emas tetap melihat perkembangan mereka sebagai sangat positif.
Selepas dua kali kandas di peringkat 16 terbaik di Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand, Wei Chong-Kai Wun yang turut diberi julukan ManTee bangkit dengan menjuarai Masters Malaysia diikuti kemaraan ke suku akhir Terbuka Singapura dan empat terbaik di Istora Senayan, Jakarta.
“Mereka (Wei Chong-Kai Wun) sudah mula menunjukkan peningkatan yang ketara bermula dari Terbuka Malaysia, kemudian di Singapura dan kini di Terbuka Indonesia. Corak permainan mereka lebih konsisten dan kemas berbanding ketika beraksi dalam kejohanan Asia dan di Thailand sebelum ini.
“Ketika di Kejohanan Asia dan Thailand, persembahan mereka belum begitu meyakinkan. Tetapi sejak di Masters Malaysia, kita boleh lihat kemajuan terutama dalam aspek perancangan permainan yang semakin jelas dan matang,” kata Herry.
Herry dalam pada itu turut menekankan kepentingan supaya keempat-empat pasangan beregu lelaki negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memainkan peranan dalam memperkukuh skuad beregu lelaki secara keseluruhan.
Selain Wei Chong-Kai Wun, BAM turut memiliki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini menduduki ranking ketiga dunia serta dua lagi pasangan muda iaitu Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choon Hon Jian-Haikal Nazri.
“Untuk Roy King-Wan Arif, Hon Jian-Haikal, mereka masih memerlukan latihan yang lebih banyak sehingga kita dapat melihat hasil latihan mereka itu dengan mendapat keputusan yang lebih baik apabila beraksi di kejohanan.
sumber:- BH
“Perkara ini penting kerana ia memberikan kita satu pasukan yang kukuh kerana di BAM ketika ini, kita mempunyai empat pasangan beregu lelaki yang berada di tahap tertinggi dan mereka boleh mendukung satu sama lain ketika di kejohanan,” katanya.