KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki yang baharu, Herry Iman Pierngadi tidak mahu menunggu lama bagi membuktikan sentuhan ‘magisnya’.
Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu yang akan memulakan tugasannya secara rasmi, esok dan kini meletakkan sasaran membantu pemain negara menamatkan penantian selama 18 tahun menjuarai acara beregu lelaki Seluruh England, Mac depan.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara beregu lelaki di Seluruh England adalah menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
Herry yang diberi julukan Herry Ip percaya gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun memiliki potensi besar untuk bergelar juara di kejohanan berprestij itu.
“Seluruh England adalah antara kejohanan yang paling berprestij selepas Olimpik dan Kejohanan Dunia.
“Saya percaya dengan potensi yang dimiliki Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun.
“Ini ditambah pula dengan kejayaan Wei Chong-Kai Wun menjuarai Masters Indonesia baru-baru ini, jadi saya percaya mereka ada peluang yang cerah,” katanya yang hadir menyaksikan sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Menurut Herry, skuad beregu lelaki Malaysia perlu bersedia sepenuhnya memandangkan persaingan sengit dijangka di Birmingham.
“Semua beregu datang dengan misi sama iaitu mahu menjuarai Seluruh England. Jadi, persediaan rapi sangat penting,” katanya yang menganggap kejayaan di Seluruh England bakal menjadi langkah penting terhadap matlamat jangka panjang untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
sumber:-BH
Herry memiliki rekod cemerlang sebagai jurulatih di Seluruh England apabila berjaya membawa pasangan Indonesia meraih enam kejuaraan dalam lapan edisi terakhir termasuk Markus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (2017 dan 2018) serta Fajar Alfian-Rian Ardianto (2023 dan 2024).