sukan

Heung-min masih terikat hingga tamat jelajah pra-musim

LONDON: Kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min terikat dengan kelab itu sehingga tamat jelajah pra-musim ke Asia, termasuk negara asalnya, Korea Selatan pada awal Ogos.

Spurs sudah memperbaharui kontraknya selama satu tahun pada Januari, menjadikan tempoh kontraknya berlanjutan sehingga tahun 2026.

Tambahan pula, wujud klausa dalam perjanjian komersial mereka yang mewajibkan Heung-min untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Newcastle United di Stadium Seoul pada 3 Ogos, dan kegagalan mematuhi klausa ini akan menyebabkan Tottenham mengalami kerugian daripada segi kewangan dan pemasaran di Korea Selatan.

Kelab-kelab Arab Saudi seperti Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Qadsiah sedia menawarkan sekitar 40 juta euro (RM228 juta) untuk perpindahan dan gaji tahunan mencecah 30 juta euro (RM171 juta) untuk Heung-min, namun peluang perpindahan sebelum jelajah pra-musim adalah sangat kecil, melainkan Spurs menerima tawaran luar biasa.

Heung-min, 32, yang baru memenangi Liga Europa bersama pasukan musim lalu, dijangka akan mengadakan perbincangan dengan pengurus baharu, Thomas Frank semasa jelajah berlangsung.

Spurs juga dilihat bersedia membiarkan bintang Korea Selatan itu kekal sehingga Januari. – AGENSI