sukan

Hodak bantu KL City hadapi Borneo FC

Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) bersedia memburu kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean (ACC) menentang Borneo FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam esok.

Keyakinan itu diluahkan selepas pengendali KL City, Miroslav Kuljanac mengakui ada menerima beberapa informasi dari ‘perisik’ di Liga Indonesia mengenai kekuatan dan kekurangan Borneo FC.

Jelasnya, individu yang dimaksudkan adalah bekas jurulatih KL City, Bojan Hodak yang ada berkongsi mengenai lawannya itu.

Katanya, Hodak menegaskan Borneo FC bukan lawan yang mudah dan memiliki kekuatan seimbang dari semua bahagian dengan corak permainan menyerang diamalkan.

“Ya, kami (saya dan Hodak) ada berbual mengenai Borneo FC. Mereka pasukan yang amat baik dalam saingan Liga Indonesia.

“Namun begitu, mereka tidak menukar kesebelasan utama sejak beberapa perlawanan. Mereka (Borneo) hanya fokus kepada perancangan mereka dan mempamerkan corak permainan menyerang,” katanya.

Sebelum ini, skuad The City Boys membuka kempen ACC dengan langkah kanan selepas membenam juara Liga Filipina, Kaya FC 1-0 pada Ogos lalu.

Menurut Kuljanac lagi, beliau bersedia menurunkan kesebelasan terbaik selepas beberapa tonggak utama disahkan bebas daripada kecederaan.

sumber:-HM

“Ya kami sudah menerima kembali beberapa pemain yang tersisih seperti Paulo Josue, Haqimi Azim dan juga Patrick Reichelt. Kami berharap dapat menurunkan pemain terbaik esok,” katanya.