KUALA LUMPUR: Pemain warisan skuad kebangsaan, Rodrigo Holgado meluahkan perasaan betapa dia gembira apabila terus mendapat kepercayaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Penyerang berusia 30 tahun itu membuat penampilan kedua bersama Harimau Malaya ketika aksi persahabatan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, yang berkesudahan skuad negara menang 1-0.
Bintang kelab America de Cali itu turut berada dalam skuad ketika aksi persahabatan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu, namun dia tidak diturunkan dalam perlawanan berkenaan.
Holgado membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu yang mana dia menyumbang satu gol untuk membantu skuad negara membelasah Naga Emas 4-0.
Holgado mengecapi detik manis dalam penampilan bersama Harimau Malaya kerana kejayaan menundukkan Vietnam menyaksikan skuad negara menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas lawan itu selain menewaskan Palestin buat kali pertama selepas 24 tahun.
Menerusi catatan di laman Instagram, Holgado seakan tidak sabar untuk terus membantu Harimau Malaya mencipta lebih banyak kejayaan buat pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya amat gembira dapat mewakili negara yang indah ini, yang mana membuatkan saya berasa seperti berada di rumah sejak hari pertama saya tiba.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, pasukan kebangsaan, serta semua rakyat Malaysia atas kasih sayang dan sokongan anda. Ayuh kita bersama untuk mencapai lebih banyak kejayaan! Jumpa lagi Malaysia!,” tulisnya.
Harimau Malaya seterusnya akan menghadapi dua aksi kelayakan Piala Asia berdepan Laos dalam Kumpulan F pada 9 dan 14 Oktober ini sebelum menentang Nepal (18 November) dan aksi terakhir bertemu Vietnam (31 Mac).