PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendakwa hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap pemain warisan negara sebagai tindakan bermotifkan politik dan bukan berasaskan undang-undang.
Baginda bertitah, FIFA gagal menggunakan peruntukan sebenar dalam kod badan induk itu khususnya Artikel 22 yang menyatakan hanya individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, bukannya pemain yang tidak terlibat secara langsung.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar,” titah baginda dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Tunku Mahkota Ismail turut menegaskan baginda akan terus menyokong perjuangan FAM dan pemain warisan dalam usaha menegakkan keadilan.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising.
“Tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain yang kini akan diteruskan ke CAS iaitu sebuah badan bebas,” titah baginda lagi.
Pada Isnin, FIFA telah menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu memalsukan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Dalam keputusan yang diumumkan pada Isnin, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.