KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd iaitu syarikat yang menguruskan Kuala Lumpur (KL) City dikatakan menanggung hutang kira-kira RM24 juta.
Pengarahnya, Syed Yazid Syed Omar mendedahkan jumlah berkenaan merangkumi kos operasi dan pembayaran tertentu bagi skuad Liga Super dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun KL City sejak 2021.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya kini dalam usaha menyelesaikan masalah terbabit merangkumi bebanan hutang yang ditanggung bagi mengelak berdepan tindakan susulan.
Beliau berkata, beberapa pihak tertentu ada menyatakan persetujuan ingin membantu meringankan beban hutang yang ditanggung termasuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.
“Ada pihak tertentu sudah menghubungi saya sekali gus menyatakan kesediaan menghulurkan bantuan kewangan bagi menyelesaikan bebanan hutang terbabit.
“Pengurusan KL City juga akan melakukan penstrukturan semula hutang membabitkan tunggakan gaji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk mengenalpasti hutang lain yang perlu diselesaikan segera.
“Kami mahu pastikan KL City beraksi tanpa masalah manakala pasukan lain di bawah Kuala Lumpur United Sdn Bhd tidak berhadapan sebarang gangguan.
“Jumlah hutang yang ditanggung sememangnya tinggi namun kita berusaha menyelesaikannya dengan segera,” katanya.
Pasukan KL City sebelum ini menjadi tumpuan umum selepas dilaporkan berdepan masalah kewangan dengan kapten mereka, Paulo Josue mendakwa tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
sumber:-BH
Selain itu, KL City sebeum ini juga dilaporkan tidak melunaskan pembayaran KWSP sejak Februari 2023 membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM719,000.