sukan

Ibrahim Manusi sah perkuat ‘revolusi baharu’ Harimau Selatan

KUALA LUMPUR: Juara 11 kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencuri tumpuan apabila mengumumkan pemain tengah berbakat, Ibrahim Manusi sebagai rekrut terbaharu mereka bagi menghadapi musim 2025.

Pengumuman itu dibuat secara rasmi menerusi video khas di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers hari ini, dengan menyaksikan Ibrahim diperkenalkan sebagai sebahagian daripada ‘revolusi baharu’ Harimau Selatan.

“Hanya ada satu tempat untuk membawa bola sepak ke standard yang lebih tinggi. Selamat datang ke Harimau Selatan, Ibrahim Manusi,” demikian kapsyen ringkas yang dimuat naik bersama video berkenaan.

Pemain berusia 23 tahun itu menjadi wajah tempatan pertama yang diumumkan secara rasmi oleh JDT selepas ketibaan dua tonggak import, Jairo Da Silva dari Brazil dan pertahanan Sepanyol, Antonio Glauder.

Ketibaan Ibrahim bukan sekadar menambah kekuatan tempatan, malah menjadi petanda jelas JDT tidak mahu leka dalam persiapan menuju musim penuh cabaran termasuk aksi antarabangsa.

Malah, Ibrahim juga bukan nama asing dalam radar pemerhati bola sepak tempatan apabila dia mempamerkan aksi konsisten bersama Sri Pahang, terutama ketika pertemuan dramatik menentang JDT dalam final Piala Malaysia 2024.

Ketika itu, aksi penuh keyakinan dan disiplin taktikal Ibrahim berjaya menarik perhatian ramai, walaupun pasukannya tewas di pentas keramat Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain tengah dinamik itu turut dianggap antara prospek terbaik bola sepak negara, malah namanya kerap disebut sebagai calon utama memperkuatkan skuad Harimau Malaya pada masa terdekat.

Sementara itu, perpindahan Ibrahim turut berlaku ketika masa depan Sri Pahang dalam saingan Liga Super masih menjadi tanda tanya, selepas beberapa pemain utama dilaporkan berhijrah ke pasukan lain.

Dengan pengumuman ini, JDT kini dilihat berada di landasan tepat membentuk skuad lebih menyengat bagi musim baharu sekali gus menghantar isyarat jelas bahawa dominasi mereka belum berakhir.