sukan

Idea penswastaan boleh diperhalusi

KUALA LUMPUR: Pelbagai reaksi dilontarkan beberapa pihak susulan laporan mengenai idea untuk pengurusan pasukan bola sepak kebangsaan diswastakan.

Tenaga Pengajar Elit AFC, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menganggap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertindak sebagai pemegang ‘saham’ besar dalam organisasi atau syarikat yang akan menguruskan Harimau Malaya.

Beliau menjelaskan, pembentukan organisasi yang menguruskan Harimau Malaya sebagai tindakan yang baik dalam menjamin impak dan kualiti terbaik terutama selepas kerajaan akan memperuntukan RM15 juta buat pasukan bola sepak kebangsaan.

Semalam media melaporkan ada kemungkinan pasukan Harimau Malaya bakal diswastakan selepas Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi laman sosial miliknya berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas.

Bagaimanapun, Tunku Mahkota Ismail yang juga mantan Presiden FAM tidak menjelaskan bentuk sebenar organisasi itu sama ada akan bergerak bebas atau tetap berada di bawah FAM bagi menguruskan Harimau Malaya.

“Kita tak tahu perincian cadangan Tunku Mahkota Ismail, namun kalau kita tengok ia seperti langkah penswastaan syarikat di Malaysia dulu yang mana bagi menjamin kualiti apabila dijaga syarikat swasta.

“Perdana Menteri pun umum peruntukan RM15 juta kepada Harimau Malaya, bukan kepada FAM. Jadi bagus kalau ada syarikat yang menguruskan pasukan itu termasuk mencari dana, buat promosi dan sebagainya.

“Perdana Menteri juga nak pantau pengurusan Harimau Malaya seperti entiti yang dijaga oleh kerajaan menerusi pemilikan saham dan ia bukan lagi ditadbir oleh orang politik atau orang sukarela. Jadi, ia akan diuruskan oleh orang profesional yang mana kalau gagal, dia kena keluar,” katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap idea penswastaan itu boleh diperhalusi atau dibincangkan oleh FAM selaku badan yang bertanggungjawab terhadap bola sepak negara.

sumber:-BH

“Kita sebagai jurulatih sebenarnya tidak pernah terfikir pasukan kebangsaan akan diswastakan sebab ia pasukan kebangsaan dikendalikan oleh FAM. Namun, mungkin idea itu boleh diberikan kepada FAM dan sama ada swasta atau tidak, kita sebagai rakyat Malaysia mahukan yang terbaik untuk bola sepak negara,” katanya.