Liverpool dan Bayer Leverkusen kendalian Xabi Alonso menjadi pilihan utama untuk mara jauh dalam Liga Europa musim ini dengan kedua-dua pasukan menuju ke timur benua itu minggu ini bagi aksi pusingan 16 terakhir yang dijangka dimenangi mereka dengan selesa.
Pasukan kendalian Jurgen Klopp satu daripada empat pasukan Britain yang masih bersaing pada pertandingan itu dan berharap untuk layak ke final musim ini, yang akan dilangsungkan di Dublin pada 22 Mei depan.
Bagaimanapun, ketika Brighton, West Ham United dan Rangers berdepan aksi pusingan 16 terakhir yang sukar, ia satu kejutan besar sekiranya Liverpool gagal mengatasi Sparta Prague dan terlepas aksi suku akhir.
Sparta mengungguli carta teratas liga Czech dan meraih beberapa keputusan bagus di Eropah musim ini, layak daripada kumpulan mereka di depan Real Betis dan kemudian menyingkirkan Galatasaray pada play-off kalah mati.
Namun Liverpool berada pada tahap terbaik ketika ini dan masih dalam pemburuan untuk merebut empat kejuaraan dalam musim terakhir Klopp sebagai pengurus di Anfield.
Sesudah memenangi Piala Liga, The Reds mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) selain mara ke suku akhir Piala FA.
Bahaya terbesar buat mereka menjelang aksi di Stadion Letna di Prague adalah pemikiran mereka mungkin tertumpu kepada perlawanan besar mementang Manchester City Ahad ini, yang hanya satu mata dalam liga di belakang anak buah Klopp.
Mereka tumpas dua perlawanan terakhir di gelanggang lawan pada peringkat kumpulan, di Toulouse dan di Belgium kepada Union Saint-Gilloise dan Klopp mungkin memilih Liga Europa sekali lagi untuk memberi peluang kepada pemain muda berbakatnya.
Sementara itu, Mohamed Salah hanya beraksi sekali sejak kembali daripada kecederaan susulan Piala Negara-Negara Afrika dan perlawanan ini mungkin terlalu awal buat bintang Mesir itu.
Liverpool menyasar untuk memastikan tempat pada undian suku akhir 15 Mac ini, yang turut mendedahkan identiti bakal lawan mereka pada separuh akhir.
Terdapat prospek mereka mungkin bertembung dengan Leverkusen, yang menikmati kempen menakjubkan di bawah kendalian bekas pemain tengah Liverpool, Alonso.
Tidak kalah sepanjang musim, pemenang Piala UEFA 1988 itu 10 mata di depan di puncak Bundesliga dengan berbaki 10 perlawanan.
Kejuaraan sulung Jerman menjadi keutamaan mereka, namun mereka masih bersaing dalam Piala Jerman dan dijangka menundukkan kelab Azerbaijan, Qarabag untuk layak ke suku akhir di Eropah.
Werkself menuju ke Baku buat kali kedua musim ini bagi aksi pertama awal pagi Jumaat ini, sesudah mengalahkan Qarabag di laman sendiri dan lawan pada peringkat kumpulan dengan jaringan agregat 6-1.
Mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam kempen sulung di Eropah, Brighton berada di Itali untuk berdepan pasukan Roma yang menikmati kebangkitan di bawah kendalian Daniele De Rossi.
Aksi pertama awal pagi Jumaat ini di Stadio Olimpico akan menyaksikan De Rossi berdepan rakan karibnya, bos Brighton, Roberto De Zerbi.
“Saya amat menghormatinya. Saya tahu beliau akan menjadi seorang jurulatih hebat kerana sebagai pemain beliau menunjukkan personaliti mengagumkan,” kata De Zerbi mengenai warga senegaranya baru-baru ini.
“Beliau berfikir sama seperti saya mengenai bola sepak. Beliau seorang yang amat bersemangat dan kami berkawan, tetapi saya harap untuk menang.”
West Ham, yang menjuarai Liga Konferens Europa musim lalu, berkunjung ke Jerman untuk menentang Freiburg yang masih segar selepas seri dengan Bayern Munich dalam Bundesliga hujung minggu lalu.
sumber:- BH
Ia pertembungan ketiga kedua-dua kelab dalam pertandingan itu musim ini dengan The Hammers menang kedua-dua perlawanan di peringkat kumpulan. – AFP