sukan

Ija dilabel aset penting bagi mengharungi dua tugasan besar

Pengalaman dan kualiti kepimpinan dimiliki Noor Hasliza Md Ali terus menjadi sandaran Malaysian Tigress dengan ketua jurulatih, C R Kumar menganggap tonggak berusia 37 tahun itu sebagai aset penting dalam mengharungi dua tugasan besar tahun ini iaitu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Piala Negara-Negara 2 (Wanita) 2026-2027.

Menurut Kumar, kehadiran pemain paling senior dalam skuad kebangsaan itu bukan sahaja memperkukuhkan benteng pertahanan, malah memainkan peranan besar membimbing barisan pemain muda selain membantu menterjemahkan taktikal pasukan di atas padang.

“Ija (Hasliza) ada kualiti kepimpinan dan dia juga akan menggerakkan pemain lain untuk bekerja keras dalam latihan. Saya yakin ramai pemain akan dengar dan ikut arahannya kerana dari posisi belakang, dia boleh mengawal permainan.

“Jadi secara asasnya, dia mempunyai kualiti kepimpinan dan menjadi pemain yang bagus. Untuk saya, umur hanyalah angka, ia bukan masalah selagi dia cergas dan boleh bermain menentang pasukan-pasukan di tahap yang tinggi,” katanya.

Kumar berkata, keputusan terus mengekalkan Hasliza dalam skuad dibuat berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkannya sepanjang musim ini.

“Selepas melihat prestasinya di Kelayakan Piala Dunia dan di TNB Liga Hoki Malaysia (MHL), dia menunjukkan permainan yang sangat baik. Jadi saya yakin dia akan menjadi lebih baik dan terus meningkat,” katanya.

Hasliza kini muncul pemain paling berpengalaman dalam Malaysian Tigress selepas bekas kapten, Juliani Mohamad Din beralih ke bidang kejurulatihan apabila dilantik sebagai Penolong Jurulatih skuad remaja wanita kebangsaan.

Malaysian Tigress bakal mengharungi jadual padat tahun ini dengan tumpuan utama terarah kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober depan, selain menggalas cabaran pada saingan Piala Negara-Negara 2 (Wanita) 2026-2027 yang menjadi medan penting meningkatkan kedudukan pasukan di pentas antarabangsa.