Kuala Terengganu: Ketua jurulatih baharu Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali berikrar untuk memacu pasukannya meraih pencapaian yang lebih baik berbanding musim 2024/2025.
Pengendali kelahiran Kemaman itu menegaskan, tanggungjawab besar itu akan dipikul dengan sebaik mungkin bagi memastikan skuad Penyu terus menjadi antara pesaing terkuat dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
“Syukur dan terima kasih kerana diberi peluang kedua oleh pengurusan Terengganu Football Club lub (TFC) Sdn Bhd membimbing skuad utama Terengganu bagi musim baharu nanti yang dijadualkan bermula Ogos ini.
“Bagaimanapun saya sedar ianya bukan tugas mudah, sebaliknya tanggungjawab ini begitu mencabar terutama kancah Liga M musim baharu nanti berlaku sedikit perubahan dengan penambahan kuota pemain import.
“Namun saya optimis selain harapan yang tinggi untuk membawa pasukan TFC ini mencapai sasaran yang lebih baik berbanding musim pertama saya membimbing skuad ini.
“Selain itu kami juga impikan kejuaraan dalam saingan Liga M serta mengintai peluang untuk beraksi dalam kejohanan Asean dan juga Asia, namun ianya memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan misi itu menjadi realiti,” ujarnya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, bekas ‘arkitek’ skuad Terengganu itu berkata, barisan kejurulatihan dan teknikal sudahpun berjaya mendapatkan beberapa pemain tempatan baharu bagi mengharungi saingan liga yang lebih mencabar.
sumber:- HM
“Begitu juga dengan import baharu, dijangka semua pemain akan turun menjalani latihan pertama pada 1 Julai depan sebagai persediaan awal sebelum tirai liga bermula,” ujar pengendali berusia 49 tahun itu.