Kuala Lumpur: Nama Malaysia terus mendonia apabila bintang lincah Harimau Malaya, Imanol Machuca mencipta sensasi dengan berjaya meraih trofi kedua bersama kelab Argentina, Velez Sarsfield.
Selepas kali pertama menjulang Supercopa Internacional pada Julai lalu, kali ini Machuca meraikan pula kejayaan menjuarai Supercopa Argentina selepas Velez menewaskan Central Cordoba 2-0.
Kemenangan itu disumbangkan menerusi dua jaringan penyerang muda, Jano Gordon, sekali gus memastikan Velez menambah koleksi kejuaraan berganda dalam tempoh singkat.
Machuca, 25, yang diturunkan dalam kesebelasan utama, sekali lagi menjadi taruhan penting di posisi sayap dengan kelincahannya sebelum digantikan oleh bekas penyerang West Ham, Manuel Lanzini pada minit ke-63.
Bagi Machuca, kejayaan kali ini cukup istimewa kerana ia kali pertama dalam kariernya berjaya meraih trofi utama di pentas bola sepak Argentina selepas beberapa musim bergelut memburu kejayaan.
Lebih menarik, ia membuktikan kehadirannya dalam skuad Velez bukan sekadar melengkapkan pasukan, sebaliknya menjadi watak penting dalam perjalanan kelab bersejarah itu.
Bagi peminat bola sepak tanah air, nama Machuca semakin dekat di hati selepas dia muncul antara pemain warisan yang membantu Malaysia mencipta kemenangan bersejarah ke atas Vietnam.
Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, Machuca menjadi antara penggerak utama ketika Harimau Malaya membenam Vietnam 4-0, sekali gus menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas lawan itu.
Kejayaan terbaru di Argentina pastinya memberi tonik tambahan buat Machuca untuk terus menyerlah bersama kelabnya, selain memberi keyakinan lebih besar apabila kembali menyarung jersi kebangsaan.
Kini, Machuca bukan sahaja menjadi kebanggaan Velez, malah turut mengharumkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.