sukan

Imigresen rekrut tiga ‘senjata’ baharu hadapi JDT

ALOR SETAR: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah mahu memastikan gandingan terbaik di benteng dan tengah bagi menghadapi aksi getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan, petang esok.

Beliau berkata strategi skuadnya untuk berdepan juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu adalah dengan membina kekuatan tambahan daripada skuad sedia ada termasuk kemasukan tiga lagi pemain import baharu bagi mengukuhkan lagi kekuatan skuad Mighty Tigers.

Ia selepas mereka tidak dapat menyenaraikan tonggak pertahanan import, Amirali Chegini yang menjalani penggantungan akibat dilayangkan kad merah pada aksi bertemu Kelantan, 12 Ogos lalu.

“Apabila melihat empat perlawanan JDT sebelum ini, kita tahu mereka akan memenangi setiap perlawanan. Untuk itu kami mahu beri saingan terbaik dengan apa yang kami ada.

“Perancangan kami adalah meletakkan gandingan yang mampu menyekat dan menutup segenap ruang terutama daripada gerakan tiga serangkai dimiliki JDT iaitu Joao Figueiredo, Jairo Da Silva, kapten pasukan, Samuel Castillejo Azuaga.

“Untuk memastikan kami mendapat keputusan yang positif di laman sendiri, kami merancang memperkuatkan ruang tengah dengan kemasukan seorang pemain import baharu dan dua lagi pemain import di bahagian pertahanan,” katanya.

IFC sudah mengumumkan senarai lima pemain importnya iaitu Rafael Iserhard Holstein dan Joao Pedro Boeira dari Brazil, Eduardo Jose Sosa Vegas (Venezuela), Elvis Kamsoba (Australia), Amirali Chegini (Iran) dan Thiha Zaw (Myanmar).

Kemasukan tiga pemain import baharu menjadikan skuad Mighty Tigers memiliki lapan pemain import setakat ini.

Yusri juga berkata, beliau sedar cabaran JDT tidak mudah, namun tetap berharap pemainnya terus bersemangat bagi memburu keputusan lebih baik selepas mendapat motivasi kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) dalam saingan Piala FA, 18 Ogos lalu.