sukan

Impian besar Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Meskipun dianggap skuad tidak lengkap tanpa ramai pemain bintang, Harimau Malaya tetap memiliki impian besar untuk mencipta sesuatu dalam Piala ASEAN 2024.

Skuad kendalian Pau Marti Vicente akan membuka kempen dalam Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, esok.

Kapten Harimau Malaya, Syafiq Ahmad menjelaskan pengumuman Vicente yang akan berpisah dengan skuad negara selepas Piala ASEAN 2024 tidak menjejaskan fokus pemain.

Malah, penyerang berusia 29 tahun itu menegaskan Harimau Malaya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan positif bermula pertembungan dengan Kemboja.

“Seperti yang jurulatih (Vicente) katakan, kami profesional dan kami mahu berikan sesuatu kepada beliau juga. Kami perlu berikan segala-galanya dalam padang dan kami mahu meraih pencapaian dalam kejohanan ini.

“Bagi saya, kami boleh dapatkan sesuatu dari kejohanan ini. Kami mahu menang dan kami perlu fokus satu langkah demi satu langkah untuk melihat sejauh mana kami boleh pergi. Saya harap kami dapat keputusan positif untuk perlawanan esok,” katanya.

Malaysia mempunyai rekod cemerlang berdepan Kemboja apabila merekodkan kemenangan bersih dalam 12 pertembungan terakhir kedua-dua pasukan itu sejak 1971.

sumber:-BH

Bagaimanapun, dengan hanya memiliki barisan campuran pemain muda dan berpengalaman, Harimau Malaya dijangka berdepan cabaran besar untuk mengatasi Kemboja yang turut diperkuat dengan beberapa pemain naturalisasi.