sukan

Impian Garuda Muda untuk ke perlawanan akhir tersekat

PENGENDALI skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun Indonesia, Shin Tae-yong memuji persembahan Garuda Muda biarpun tewas 0-2 kepada pasukan pilihan Uzbekistan dalam perlawanan separuh akhir Piala Asia B-23 Qatar 2024.

Biarpun begitu Tae-yong akui skuad mudanya sedikit gugup di separuh akhir berbanding perlawanan sebelum ini sehingga gagal untuk mempamerkan persembahan sebenar berdepan Uzbekistan.

“Pertama, saya menghargai usaha yang dimainkan setiap anggota pasukan kami, begitu juga dengan Uzbekistan yang jauh lebih kuat, selamat maju jaya buat pasukan Uzbekistan.

“Namun begitu terdapat beberapa perkara yang agak malang berlaku dalam perlawanan, tetapi saya tidak akan menyebutnya di sini,” kata bekas jurulatih pasukan Korea Selatan itu.

Impian Garuda Muda untuk ke perlawanan akhir temasya itu apabila disekat Uzbekistan dalam aksi separuh akhir di Stadium Abdullah bin Khalifa, Qatar pada Selasa.

Skuad pelapis Serigala Putih kendalian Timur Kapadze yang menyingkirkan penyandang juara Arab Saudi di suku akhir ternyata menguasai rentak sejak awal perlawanan, namun gagal terjemahkan peluang dalam bentuk jaringan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, anak buah Tae-yong tampil lebih garang apabila Muhammad Ferarri meledak gol pembukaan minit ke-61 bagi meletakkan pasukannya di depan.

Namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Ramadhan Sananta dikesan berada dalam situasi ofsaid sebelum jaringan Muhammad Ferarri.