KUALA LUMPUR: Impian pemain import Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco untuk mendapat status naturalisasi dan menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia hampir menjadi kenyataan.
Ia selepas Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar memaklumkan bahawa beliau difahamkan proses untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia buat tonggak pertahanan kelahiran Australia itu hampir selesai.
“Dia (Gallifuoco) hampir menjadi rakyat Malaysia. Buat masa ini, itu sahaja yang saya tahu, belum lagi lulus (sepenuhnya),” kata Syed Yazid yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Gallifuoco yang pernah bersama akademi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur sebelum ini dicanang menjadi antara calon pemain import yang bakal mendapat status naturalisasi.
Berusia 32 tahun, Gallifuoco boleh mendapat status naturalisasi selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu beraksi lima tahun di negara ini.
Selain Gallifuoco, dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo juga termasuk antara pemain yang berpotensi besar dan layak untuk diberikan status naturalisasi.
Malah, ada yang mendakwa Gallifuoco dan Da Silva bakal menyertai skuad negara pada kem untuk berdepan Vietnam bulan lalu, namun nama mereka tiada dalam senarai yang dipanggil pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Cklamovski sebelum ini memaklumkan Gallifuoco dan Da Silva tidak sempat untuk menyertai kem bagi menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 itu kerana masalah dokumentasi