sukan

Indonesia, Iraq mohon penjelasan daripada FIFA, AFC

JAKARTA: Indonesia dan Iraq secara rasmi menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan penjelasan mengenai kriteria pemilihan negara tuan rumah bagi pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.

Pusingan keempat zon Asia membabitkan enam pasukan iaitu pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat dalam Kumpulan A, B dan C pada pusingan ketiga yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bermain di lokasi berpusat yang dikendalikan dua negara tuan rumah.

Meskipun FIFA dan AFC belum membuat pengumuman rasmi, desas-desus menyatakan Arab Saudi dan Qatar bakal menjadi pilihan utama sebagai tuan rumah.

Negara Asia Barat sering dipuji kerana memiliki infrastruktur kukuh, sumber kewangan yang besar serta keupayaan penganjuran tinggi, namun kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya pilih kasih atau kecenderungan serantau turut dibangkitkan.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dilaporkan menghantar surat rasmi kepada FIFA dan AFC menuntut ketelusan dalam proses dan kriteria pemilihan tuan rumah.

PSSI juga mengemukakan bidaan rasmi untuk menjadi tuan rumah pusingan keempat, menurut laporan CNN Indonesia.

Pada masa sama, Persatuan Bolasepak Iraq (IFA) turut menghantar permohonan rasmi pada hari yang sama, dengan menekankan kesiapsiagaan serta rekod penganjuran kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Kebelakangan ini, kebanyakan kejohanan utama bola sepak dianjurkan di rantau Asia Barat.

Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, Piala Asia 2023 serta Piala Asia B-23 2024.

Arab Saudi dijadualkan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, Piala Asia B-23 2026 dan Piala Asia 2027, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula pernah menganjurkan Piala Asia 2019.

Selepas aksi pusingan ketiga yang berlangsung pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Qatar, UAE, Indonesia, Iraq dan Oman berjaya mengesahkan tempat ke pusingan keempat.

Pusingan keempat dijadual berlangsung Oktober ini dengan perlawanan pada 8, 11 dan 14 Oktober.

Undian rasmi akan diadakan pada 17 Julai, namun kriteria rasmi pemilihan tuan rumah masih belum diumumkan. – AGENSI