Skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan sekali lagi berdepan kekecewaan apabila tumbang di tangan Indonesia dalam aksi final penuh dramatik di Sukan SEA Thailand 2025, seolah-olah mengulangi ‘sumpahan’ yang pernah menghantui mereka pada edisi 2023 di Kemboja.
Seperti deja vu, Malaysia yang hadir dengan misi membalas dendam selepas kekalahan dua tahun lalu, sekali lagi terpaksa akur apabila perlawanan berakhir dengan keputusan seri 4-4 sebelum ditentukan melalui penalty shootout. Kali ini, Indonesia lebih tenang untuk menutup kemenangan 2-0, sekali gus merampas pingat emas yang diidamkan skuad negara.
Ketua jurulatih, Amin Rahim, mengakui anak buahnya telah beraksi dengan penuh semangat sepanjang 40 minit permainan, namun nasib tidak menyebelahi mereka ketika penentuan penalti.
“Bukan mencari alasan, tetapi ada segelintir keputusan pengadil yang sedikit berat sebelah ke arah Indonesia, tetapi kami terima dengan hati terbuka. Kami bermain selama 40 minit. Kami hanya kalah ketika penalty shootout,” katanya.
Kapten pasukan, Najmi Farizal Jazlan, pula meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan.
“Kami seperti menentang enam lawan lapan. Sebab bagi saya, apa keputusan pengadil sangat teruk. Perkara tak sepatutnya ditiup, perkara yang sepatutnya pula tidak ditiup,” ujarnya dengan nada kesal.
Bagi Indonesia, kemenangan ini dianggap sebagai kejayaan besar yang telah lama dinantikan. Jurulatih mereka, Dhaarma Raj Abdullah, menegaskan bahawa persiapan rapi selama 15 bulan akhirnya membuahkan hasil.
“15 bulan pasukan Indonesia berlatih. Fokus terhadap pasukan lelaki kerana ini sahaja pasukan yang boleh memenangi emas. Sudah beberapa bulan saya menunggu aksi ini. Saya sudah tahu Indonesia akan menentang Malaysia dalam final. Kami memang memerlukan emas ini untuk perkembangan hoki Indonesia. Hoki akan mula diberi perhatian khusus di Indonesia,” katanya penuh semangat.
Kejayaan ini bukan sahaja menghadiahkan emas kepada Indonesia, tetapi juga menjadi titik tolak penting dalam usaha mereka membangunkan hoki dalam dewan sebagai sukan utama di negara tersebut.
Sementara itu, skuad hoki dalam dewan wanita Malaysia turut dilanda badi kekalahan berterusan apabila sekali lagi tewas kepada Thailand dalam aksi final. Kekalahan 4-2 itu menyaksikan skuad wanita negara kempunan menikmati kilauan emas selepas turut dikecewakan lawan sama pada edisi terdahulu.
Harapan Masa Depan
Dua kekalahan di pentas final ini jelas menjadi tamparan hebat buat hoki dalam dewan Malaysia. Namun, ia juga menjadi pengajaran berharga bahawa skuad negara perlu memperkukuh aspek taktikal, mental, dan persiapan fizikal untuk menamatkan ‘sumpahan’ yang membelenggu mereka.