sukan

Indra yakin anak tempatan mampu pecah rekod

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Indra Putra Mahayuddin meluahkan hasrat untuk melihat anak tempatan memecahkan rekodnya itu pada satu hari nanti.

Indra memegang rekod itu selepas mengumpul 106 gol dan rekodnya itu dijangka akan dipecahkan penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva menjelang musim baharu yang akan membuka tirai, Ogos ini.

Da Silva yang menyertai skuad Harimau Selatan sejak 2021 hanya memerlukan dua gol sahaja lagi untuk memecahkan rekod Indra dengan dia ketika ini sudah meledak 105 gol dalam Liga Super.

Indra yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan termasuk Perak, Kelantan, Selangor dan Pahang mengakui gembira sekiranya rekodnya itu boleh dipecahkan, namun pada masa sama turut mengharapkan ada pemain tempatan dapat melakukannya.

“Bagi saya, sebagai penjaring terbanyak itu hanya gelaran saja. Siapa pun boleh potong (rekod), saya berasa cukup gembira walaupun pemain import yang akan memotong jaringan saya.

“Saya berasa tiada masalah, tetapi kalau boleh saya ingin lihat pemain tempatan yang berjaya potong jaringan saya,” katanya.

Berdasarkan nama 15 pemain teratas yang berada dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, enam pemain tempatan berada dalam senarai itu termasuk Indra, Ashari Samsudin (85 gol), Mohd Amri Yahyah (79), Baddrol Bakhtiar (78), Norshahrul Idlan Talaha (70), Safee Sali (56) dan Mohd Fadzli Saari (53).

Semua pemain tempatan itu bagaimanapun sudah tidak beraksi dalam Liga Super dan ia memberi bayangan jelas bahawa Indra perlu menunggu tempoh yang lama jika mahu melihat pemain tempatan mengatasi rekod jaringannya.

Selain itu, Indra turut menjelaskan pemain tempatan terutama penyerang berdepan cabaran besar untuk merebut tempat dalam pasukan selepas kelab Liga M dibenarkan mengikat ramai pemain import.

Justeru, bekas pemain kebangsaan berusia 43 tahun itu berkata, pemain tempatan perlu memiliki sikap mencabar diri untuk bermain dan membuktikan bahawa sebenarnya masih ada lagi penyerang tempatan yang berbisa.

sumber:- BH

“Apabila setiap kelab mengambil pemain import, kita cabar diri kita, tunjukkan kita pun boleh beraksi dalam kesebelasan utama. Ia akan membuatkan kita mahu buktikan diri bahawa sebenarnya kita pun boleh jadi seperti dia (pemain import),” katanya.