Kuala Lumpur: Adakah hukuman penggantungan dan denda yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan negara bakal menemui sinar di hujung terowong?
Persoalan itu mula berlegar selepas kelibat Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, muncul dalam gambar yang dimuat naik Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Instagram miliknya.
Infantino memuat naik sekeping foto yang memperlihatkan beliau tersenyum mesra bersama Hamidin ketika menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan FIFA di Zurich, Switzerland.
Hantaran itu sekali gus mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air yang menantikan perkembangan terkini mengenai isu panas penggantungan berkenaan.
Malah, dalam kapsyen yang ditulis Infantino sendiri, beliau menyifatkan jamuan itu sebagai kesempatan terbaik untuk ‘merapatkan hubungan, berkongsi senyuman dan meraikan perpaduan keluarga bola sepak dunia’ sebelum mesyuarat penting FIFA Council hari ini.
Kehadiran Hamidin di Zurich bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sebelum ini dilaporkan berangkat ke ibu pejabat FIFA bagi membincangkan tentang hukuman berat yang dikenakan terhadap FAM dan pemain terbabit.
Apa yang pasti, fokus penyokong bola sepak negara kini bertumpu kepada usaha Hamidin membawa suara Malaysia ke meja rundingan FIFA sekali gus mengharapkan ada ruang untuk rayuan untuk meringankan hukuman yang dikenakan.
Sebelum ini, FIFA mengumumkan FAM digantung selain didenda susulan isu kelayakan tujuh pemain warisan negara.
Keputusan itu mencetuskan kejutan besar bukan sahaja dalam kalangan peminat, malah turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju skuad Harimau Malaya selepas ini.
Walaupun FAM dalam kenyataannya baru-baru ini mengesahkan sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA, bayangan bahawa pintu perbincangan masih terbuka memberi sedikit harapan kepada penyokong.
Pertemuan mesra Hamidin dengan Infantino di Zurich turut ditafsir sebagai isyarat bahawa hubungan baik Malaysia dengan badan induk dunia itu masih kukuh.
Hubungan diplomasi inilah yang dipercayai menjadi kunci penting dalam menentukan nasib Malaysia di peringkat antarabangsa.