BERLIN: Mikel Oyarzabal meledak gol kemenangan Sepanyol ke atas England pada final Euro 2024 tetapi kejayaan La Roja muncul juara diinspirasikan sejak dari awal hingga akhir oleh dua pemain sayap sensasi, Nico Williams dan Lamine Yamal.
Dua pemain muda itu menjadi kunci kejayaan Sepanyol mara ke final di Berlin dan gandingan mereka sekali lagi meletup ketika mengatasi England, awal pagi tadi.
Williams meletakkan Sepanyol di depan dan kedua-dua mereka hampir untuk menjarakkan kedudukan sebelum Cole Palmer menjaringkan gol penyamaan buat England.
Yamal, 17, dan Williams, 22, yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka sehari sebelum final menjadikan jentera serangan Sepanyol lebih menarik, kekurangan mereka sejak sedekad lalu sekali gus membawa pasukan merangkul gelaran Eropah buat kali keempat.
Kali terakhir Sepanyol memenangi trofi utama adalah pada 2012, mengakhiri kegemilangan generasi emas yang muncul juara Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.
Sejak itu, mereka bergelut baik dalam dan di luar padang termasuklah krisis dalaman yang menghantui persatuan bola sepak negara itu.
Tidak ramai yang menjangkakan Sepanyol akan muncul juara sebelum kejohanan kali ini tetapi kehebatan dan semangat dimiliki Yamal dan Williams memberikan impak kepada pasukan yang terkenal dengan keupayaan mereka menguasai bola itu.
Yamal menjadi penjaring gol termuda di Euro pada usia 16 tahun ketika mengatasi Perancis pada separuh akhir menerusi percubaan dari luar kotak penalti dan dinobatkan pemain muda terbaik kejohanan selepas kejayaan Sepanyol muncul juara.
“Ini adalah hadiah hari jadi terbaik saya, ia satu mimpi menjadi kenyataan,” kata Yamal selepas memenangi trofi pertama dalam kerjayanya yang baru bermula.
Williams pula memainkan peranan penting ketika Sepanyol menewaskan juara bertahan, Itali dalam saingan peringkat kumpulan dan terus menyerlah ketika aksi pusingan 16 terakhir menentang Georgia yang menyaksikan La Roja bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan.
sumber:-BH
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata gandingan itu adalah ‘hadiah daripada Tuhan’ dan beliau berhak menerima pujian di atas keberaniannya memanfaatkan kelebihan dimiliki kedua-dua pemain berbanding mengambil pendekatan berhati-hati. – AFP