Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menyifatkan prestasi dipamerkan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sepanjang kempen PETRONAS Malaysia Open 2026 sebagai konsisten dan berada pada tahap terbaik mereka.
Menurut Herry, persembahan yang ditampilkan juara dunia 2022 itu di Axiata Arena hampir menyamai prestasi ketika mereka muncul juara Kejohanan Asia di Ningbo, China pada April tahun lalu.
“Saya rasa mereka konsisten dalam permainan. Bagi saya, ini antara persembahan terbaik mereka selain ketika menjuarai Kejohanan Asia. Di Terbuka Malaysia kali ini, prestasi mereka hampir mencapai tahap itu dan mendekati penampilan sebenar seperti dahulu. Namun, kali ini mereka belum cukup tuah untuk meraih gelaran juara di laman sendiri,” katanya.
Dalam aksi final semalam, Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Pertarungan tiga set itu berlangsung penuh dramatik dengan kedua-dua pasangan saling berbalas serangan dan pertahanan ketat. Namun, pengalaman dan ketenangan pasangan Korea pada saat genting menjadi pemisah jelas antara juara bertahan dan wakil Malaysia.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia masih belum berjaya menamatkan penantian untuk melihat wakil negara menjulang kejuaraan Malaysia Open sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Seri Lee Chong Wei pada edisi 2018.
Lebih menyedihkan, kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di kejohanan berprestij itu turut berlarutan sejak kejayaan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.
Dalam pada itu, Herry menegaskan bahawa tanggungjawab membawa pulang kejuaraan tidak seharusnya dipikul oleh Aaron-Wooi Yik semata-mata. Beliau mahu pasangan lain turut bangkit dan menyumbang pencapaian besar buat negara.
“Jangan hanya bergantung kepada Aaron-Wooi Yik. Saya berharap pasangan lain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi, serta Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mampu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir atau lebih baik hingga ke final. Jika semua pasangan mampu menyumbang, tekanan dan beban itu akan menjadi lebih ringan,” katanya.
Selepas berakhirnya Malaysia Open, skuad beregu lelaki negara kini mengalihkan fokus kepada India Open 2026 yang akan membuka tirainya di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi, esok. Kejohanan berstatus Super 750 itu bakal menjadi medan penting untuk mengukur tahap konsistensi dan kemampuan beregu negara dalam menghadapi cabaran antarabangsa.
Walaupun gagal menamatkan penantian 12 tahun di Malaysia Open, prestasi Aaron-Wooi Yik tetap mendapat pujian kerana konsistensi dan semangat juang tinggi yang dipamerkan. Namun, mesej jelas daripada Herry ialah Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada satu pasangan.
Dengan sokongan padu peminat dan kebangkitan beregu lain, skuad negara diyakini mampu mencipta kejayaan lebih besar di kejohanan akan datang, sekali gus mengembalikan kegemilangan badminton Malaysia di pentas dunia.