PENGENDALI skuad Harimau Muda Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain mengakui pemilihan 23 pemain ke Kejohanan Piala ASEAN B-23 kali ini adalah antara yang terbaik yang dapat digandingkan berdasarkan kecergasan dan kesediaan semasa pemain.
Menurut Nafuzi, senarai pemain itu diumumkan secara rasmi selepas melalui tempoh latihan intensif selama 12 hari dan beberapa pemain utama terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
“Saya bersyukur dengan senarai pemain yang ada ini. Saya anggap mereka antara yang terbaik untuk membawa cabaran negara dalam kejohanan kali ini. Ada juga pemain yang cedera dan tidak dapat diserap ke dalam pasukan.
“Tahniah kepada beberapa pemain muda yang dipilih, saya percaya mereka adalah pilihan terbaik yang kita ada ketika ini,” katanya pada Ahad.
Malaysia diundi Filipina dan Brunei dalam Kumpulan A dan dijangka berdepan cabaran sengit, terutamanya ketika menentang tuan rumah, Indonesia.
Mengulas lanjut, Nafuzi menegaskan aspek mentaliti dan keyakinan diri adalah kunci utama untuk pasukannya beraksi cemerlang, terutama dalam perlawanan menentang skuad Garuda Muda di hadapan penyokong lawan.
“Pertemuan dengan Indonesia bukan sahaja akan diuji secara taktikal tetapi juga dari segi mentaliti. Kita tahu kehangatan perlawanan Malaysia-Indonesia, ia bukan sekadar bola sepak biasa tetapi penuh emosi dan maruah,” katanya.
Namun begitu, Nafuzi mahu anak buahnya menumpukan sepenuh perhatian kepada aksi pertama bertemu Filipina terlebih dahulu.
“Saya selalu ingatkan pemain, perlawanan pertama adalah detik penentu. Jika kita menang, barulah kita boleh fikirkan perlawanan seterusnya. Itu ‘turning point’ kita,” katanya lagi.
Mengulas tentang masalah ‘lambat panas’ yang sering menghantui skuad negara dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini, Nafuzi percaya segalanya bergantung kepada persediaan dan semangat pemain.
“Kita tahu Malaysia selalu ada isu mula perlahan. Tapi bagi saya, penting untuk setiap pemain bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental.
“Ini adalah kejohanan pertama saya bersama pasukan kebangsaan dan saya mahu mereka faham cara kita bermain walaupun latihan agak singkat,” jelasnya.
Nafuzi turut menyatakan harapan agar perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia menjadi medan penentuan tempat ke separuh akhir dan menjadikan suasana lebih dramatik.
“Ada yang kata perlawanan terakhir lawan Indonesia akan jadi penentu. Kalau itu berlaku, saya rasa ia akan jadi satu perlawanan yang cukup hebat dan sensasi,” katanya.
sumber:- SH
Malaysia akan membuka tirai kempen Piala ASEAN B-23 2025 menentang Filipina (Selasa), sebelum bertemu Brunei (Jumaat) dan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Indonesia (21 Julai).